BIODATA HAFIZ MUSTAPHA

hafiz-mustapha

Hafiz Mustapha adalah seorang penceramah, perunding imej, penulis, blogger fesyen dan pengasas / pemilik CuteCarry Sdn Bhd dan pemilik blog dengan domain Cutecarry.com & Cutecarry.cc.  Berbelas ribu peserta telah mengikuti kursus dibawah kendalian beliau.

Kepakaran beliau adalah didalam bidang IMEJ ABC- Appearance. Behaviour, Communication, Protokol & Etika, motivasi, 5s. daya tarikan (law of attraction), pengendalian majlis dan pelbagai bidang-bidang berkaitan.

Kini beliau menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Federation of Image Professionals International (FIPI) Malaysia. Setelah berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan, beliau mengikuti jurusan Komunikasi Media yang memberi tumpuan kepada media dan imej di Kolej Ripa London, United Kingdom. Beberapa tahun di dalam perhubungan awam, beliau dilantik sebagai Ketua Komunikasi Korporat di dalam sebuah agensi tempatan. Skop kerja adalah termasuk hubungan media, sektor korporat dan awam, pengurusan acara /majlis peringkat agensi sehingga kebangsaan dan lain-lain bidang yang berkaitan. Pada tahun 2007, beliau dianugerahkan Ahli Mangku Pahang (AMP) oleh Sultan Pahang. CuteCarry.com dimulakan pada tahun 2008 yang memfokuskan kepada gaya hidup, tips fesyen dan isu semasa. Blog ini telah menarik perhatian dari populasi fesyen dan pembaca dari seluruh dunia. Oleh itu, beliau telah dijemput menghadiri pertunjukan fesyen anjuran pereka tempatan dan antarabangsa di Malaysia dan Singapura. Antara majlis yang dihadiri ialah Malaysia Fashion Week (MIFW), Festival Filem Malaysia, Malaysia Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Skrin, Juara Lagu dan acara glamor lain. Beliau dijemput khas untuk meliputi aspek fesyen dan gaya. Dia kemudian meluaskan perniagaan ke dalam bidang perundingan imej. Tumpuan adalah mengendalikan latihan untuk kakitangan kerajaan dan korporat dalam aspek imej, tingkah laku, komunikasi, pengendalian majlis, protokol dan etiket sosial. Beribu-ribu peserta telah menghadiri bengkel dan seminar beliau. Pengalaman beliau berurusan dengan orang awam telah membuka lembaran perniagaan baru iaitu perkhidmatan gaya peribadi. Perkhidmatan ini adalah ‘one to one’ dengan beliau dan pelanggan. Prinsip pengurusan gaya beliau adalah tidak benar-benar mengubah pelanggan tetapi untuk menambah personaliti dan memperbaiki penampilan. Pengalamannya beliau dalam perundingan imej juga membolehkan beliau dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai Panel untuk Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi Perunding Imej, Kementerian Sumber Manusia. Pasukan ini adalah untuk membangunkan satu garis panduan dalam standard pendidikan, latihan dan pensijilan bagi perunding imej di Malaysia. Hafiz Mustapha juga seorang penulis untuk beberapa penerbitan. Personalitinya  yang ceria, bergaya dengan pengetahuan meluas dalam bidang imej,  protokol dan etika menarik minat media dan telah diketengahkan di dalam The Star, Berita Harian, Kosmo, Majalah EH, New Straits Times, Trend, Mingguan Wanita, Majalah Jelita, The Sun dan juga tetamu di TV3 Wanita Hari ini, TV1 Selamat Pagi Malaysia, Hello On Two, TV9 Nasi Lemak Kopi O dan juga TV9 Hip TV (sebagai polis fesyen) dan tetamu khas pada TV1 Generasi Y. Beliau juga muncul sebagai hos TV bersama selebriti Kavita Kaur untuk TV1 program yang dipanggil Fesyenista dan program fesyen kanak-kanak di TV1 iaitu Ceria. Beliau juga membuat penampilan khas dalam siri TV3, Memberku Hawa.

 

  

BIODATA AWIE MANIK

awie

Noraini Yaacob atau lebih dikenali sebagai Awie Manik dilahirkan pada tanggal 22 April 1977. Beliau adalah anak kelahiran Kedah dan merupakan anak ke dua dari 7 orang adik beradik. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Telok Kecai dan Sekolah Menengah Tun Sharifah Rodziah. Minat yang mendalam didalam bidang jahitan membuatkan beliau berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1996 untuk mempelajari ilmu dalam bidang jahitan di Dian Training Centre.

Sejurus selepas tamat kursus beliau bekerja sebagai tukang jahit di Batik Sutera, Jalan Raja Laut. Beliau kemudian dilantik sebagai pereka pakaian di Gaya Warisan Jahitan. Tugas di butik ini bukan hanya sebagai pereka tetapi sebagai tukang jahit, menganjurkan pameran, pertunjukan fesyen dan menguruskan urusan perniagaan. Disinilah beliau mula mengetahui selok belok berkenaan perniagaan dunia jahitan. Pelanggan yang datang dari seluruh dunia dan menjahit pakaian artis seperti Siti Nurhaliza, Rohana Jalil, Arni Nazira, Sheila Rusly dan ramai lagi menajamkan lagi kemahiran dalam bidang ini.

Beliau kemudian memberanikan diri membuka butik sendiri iaitu Butik Awie dan perniagaan berjalan dengan lancar. Kemudian beliau berpindah ke Pulau Pinang dan seterusnya ke Alor Setar, Kedah.

Walaupun perniagaan yang dijalankan agak maju, pendapatan yang diperolehi tidak menentu akibat strategi dan pengurusan perniagaan yang lemah. Secara purata beliau hanya mampu memperoleh sekitar RM800 sebulan. Pendapatan ini tidak mencukupi untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat.

Kekusutan didalam kerjaya dan ekonomi akhirnya terungkai pada tahun 2013. Beliau telah mendaftarkan diri untuk kursus IMEJ & PENJENAMAAN anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kedah. Kursus selama dua hari ini dikendalikan oleh Hafiz Mustapha.

Selepas menyertai kursus tersebut, Noraini telah mendapat idea didalam laluan kerjayanya. Beliau mula mempraktikkan teknik dan tips yang telah dipelajari. Strategi telah disusun dan langkah diatur. Pewujudan pelan pemasaran, kewangan dan penjenamaan dicorak. Tempahan jahitan masih menjadi cabang rezeki dan dalam masa yang sama beliau mula memperkenalkan kursus jahitan anjuran beliau sendiri. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ia membuahkan idea lain iaitu penjualan naskah pola jahitan pakaian hasil daripada permintaan ramai. Sehingga kini beliau telah menjual beribu-ribu naskhah pola jahitan.

Hasil daripada usahanya, beliau Berjaya membuka Bengkel Awie Manik yang terletak di A9, Tingkat Atas Perniagaan, Taman Restu, Jalan Kuala Kedah, Kedah Darul Aman. Produk jualan Awie Manik adalah seperti shawl, nota ringkas, pola untuk membuat baju, kelas jahitan seperti Kelas Memandu Mesin (kelas lesen L), Kelas 3M (mengukur, mengira dan membuat pola) dan Kelas 5M (mengukur, mengira, membuat pola, menggunting dan menjahit).

Sepanjang menjalankan kelas jahitan Noraini telah mengenalpasti kekurangan yang terdapat pada peserta yang hadir. Teknik jahitan telah mahir tetapi aspek perniagaan, penjenamaan, motivasi dan imej amat tipis. Ia seperti apa yang dialami oleh beliau sebelum ini. Simptom ini adalah penyebab kepada kurangnya pendapatan tukang jahit.

Niat untuk membantu telah diterjemahkan kepada kerjasama bersama sifunya iaitu Hafiz Mustapha. Kelas SUPER TAILOR telah dilahirkan. Kelas Super Tailor yang pertama telah diadakan di CuteCarry Academy, Seri Kembangan. Kelas ini telah mendapat sambutan yang hangat dan ia dilaksanakan setiap bulan di seluruh negeri.

Konsep utama didalam perniagaan Awie Manik ialah bersedekah samada daripada segi kebendaan dan ilmu. Beliau menubuhkan Group Wakaf Ilmu Jahitan didalam facebook yang telah mempunyai berpuluh ribu ahli. Ternyata prinsip ini membawa kebaikan kepada semua.